Ibubapa perlu ubah diri dan menjadi contoh pada anak-anak

Assalamualaikum wbt.

Bertemu dalam satu perkongsian dan pengalaman dalam mendidik anak-anak supaya cintakan Al-Quran dan As-Sunnah.
Pendidikan anak-anak kita bermula daripada mereka kecil lagi di mana kita sebagai ibubapa yang menjadi contoh dan cermin bagi anak-anak. Sama ada kita mahu anak kita menjadi seorang mukmin atau menjadi seseorang yang selain daripada mukmin kitalah yang mencorakkan personaliti mereka.

Bagi, saya azam dan doa amat penting untuk ubah diri. Tinggalkan segala perkara yang salah dan haram serta amalkan segala yang diperintahkan Allah ke atas setiap hamba-hambaNya. Cakap memang mudah tapi kena ada keyakinan dan azam yang kuat.
Yang paling penting, ibubapa perlulah menjaga solat 5 waktu. Ini adalah asas dan juga rukun yang selalu orang remehkan. Sebabnya ia adalah tiang agama. Perlahan-lahan solat akan mengubah kita ke langkah seterusnya untuk kita belajar tentang agama dengan lebih mendalam.
Anak-anak kecil bila lihat ibubapa mereka solat, memang pada mulanya mereka akan main-main semasa kita solat, tapi percayalah lambat laun mereka akan mengikut langkah anda sedikit demi sedikit.
Saya ikut pesan Rasulullah SAW, ajarlah anak-anakmu solat sedari usia mereka 7 tahun. Jika umur mereka mencapai 10 tahun masih tidak solat maka pukullah untuk pengajaran.
Bilamana anak-anak saya mencapai umur 7 tahun, semasa waktu Subuh saya akan gerak mereka untuk solat. Biarlah solat mereka lintang pukang untuk permulaan.  Biarlah hanya satu rakaat atau mereka tertidur sewaktu sujud sekali pun. Teruskan istiqomah sehingga mereka meningkat usia. Anda pasti akan melihat perubahan anak-anak anda dalam peralihan masa semasa mereka membesar.
Saya sendiri akan merotan anak-anak saya hanya sebagai pengajaran jika mereka masih melengahkan solat setelah umur mereka mencapai 10 tahun.
Tapi sedarlah, bagaimana semua perkara ini terjadi jika kita sebagai ibubapa sendiri yang masih berselimut ketika subuh atau tidak langsung bangun untuk solat subuh.
Pengalaman saya bersama sahabat-sahabat saya yang lain berkenaan anak-anak yang tidak bersolat amat banyak. Tambahan banyak yang luahkan kesedihan dan kebimbangan tentang anak-anak mereka yang masih tidak solat walaupun sudah baligh atau cukup umur.
Apabila solat dijaga, perkara-perkara lain seperti puasa, zakat dan haji pasti akan ikut terjaga.

"Ingat pesan orang tua-tua dahulu, melentur buluh biarlah dari rebung"

Sesal dulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.
Di dalam mendidik adakala kita terkasar dengan anak-anak, tapi pada masa lain kita juga harus kasih pada mereka. Ciumlah dan peluklah anak-anak anda selagi berkesempatan, jangan ambil ringan tentang hal kasih sayang. InsyaAllah...
Perkongsian ini adalah dari pengalaman saya yang benar. Bagi suami isteri yang baru berkahwin, ubahlah diri dan banyakkan berdoa supaya dikurniakan anak-anak yang soleh dan yang solehah, insyaAllah.
Tarbiah dari ibubapa amat-amat penting dalam pendidikan agama dan membentuk anak-anak yang tinggi nilai akhlak.



Comments